Rabu, 21 Oktober 2009

lagi sejadah berdiri/solat

Misteri sejadah berdiri
Sumber: Berita Harian online pada 21/10/2009
Tarikh berlaku: 20/10/2009
Tempat berlaku: Pasir Mas Kelantan



ORANG ramai melihat 36 sejadah berdiri di surau Sekolah Kebangsaan
Tok Sangkot,
Meranti, Pasir Mas semalam.

PASIR MAS: Misteri 36 helai sejadah yang dikatakan ditemui dalam keadaan 'berdiri' di surau Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Sangkot, Meranti di sini, semalam, menarik perhatian penduduk sekitar.

Kejadian yang mula disedari jam 10.40 pagi itu, dianggap aneh tetapi Kadi Jajahan, Anuar Alsadat Noor, mengingatkan umat Islam supaya tidak membuat tafsiran sehingga boleh memesongkan akidah.

"Saya anggap ini perbuatan kanak-kanak nakal yang sengaja menyusun kedudukan semua sejadah dalam keadaan seperti sedang melakukan solat.

Difahamkan, pada Ramadan lalu perkara sama turut berlaku di rumah seorang penduduk kampung berkenaan apabila sehelai sejadahnya berdiri sendiri.

Sementara itu, guru sekolah itu, Adnan Abdullah, berkata kejadian di surau itu disedari seorang murid Tahun Dua, Mohd Khairi Mat Yadin, 8, ketika berada dalam kelas pemulihan pembelajaran.

Beliau berkata, murid itu terpandang susunan sejadah terbabit dalam keadaan mencurigakan menerusi ruang tingkap surau itu dari kelasnya.

Kedudukan sejadah itu dikatakan seperti saf mengerjakan solat dengan semuanya membentuk bonjolan di bahagian tengah.

Sebanyak 16 helai sejadah bersusun di ruang solat lelaki, manakala 19 lagi di ruang solat perempuan, manakala satu di ruang imam di bahagian depan.

Adnan berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, beliau bergegas meninjau keadaan dalam surau berkenaan.

"Saya terkejut apabila melihat keadaan susunan sejadah itu sebelum memaklumkan kepada Penolong Kanan sekolah itu, Maimon Hamzah, kerana Guru Besar, Mariam Omar, sedang menghadiri majlis rasmi di Pengkalan Chepa.



"Berikutan itu, kejadian ini dimaklumkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Mas dan diarahkan supaya tidak mengganggu kedudukan semua sejadah terbabit sehingga sehingga ia dirujuk kepada Pejabat Agama Daerah Pasir Mas.

"Kira-kira setengah jam selepas penemuan sejadah ini, orang ramai mula masuk mengerumuni surau ini untuk melihat sendiri apa yang berlaku menyebabkan kami terpaksa memasang pita bagi menghalang mereka masuk ke surau," katanya.

Bagaimanapun, orang ramai mula beredar dari surau itu selepas mendapat arahan Pejabat Agama.

-----------------------------------------------------------------------------------------------